"Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam bersabda “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana tempat yang
dijanjikan bagi kalian ialah syurga”.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mendoakan keluarga Yasir, “Ya Allah,
janganlah Engkau seksa seorang pun dari keluarga Yasir dengan api neraka”.
Keluarga yang agung dan mulia ini menghimpunkan segala sisi keutamaan.
Keutamaan-keutamaan ini semerbak harum menebarkan aroma kemuliaan dan ia
tersebar dari generasi terawal memeluk Islam sehinggalah ke generasi akhir zaman.
Pemimpin keluarga ini, Yasir bin Amir bin Malik berasal dari Yaman. Beliau
datang ke Mekah bersama-sama Al-Harits dan Malik dalam rangka menjejaki
saudaranya. Mereka berdua kembali ke Yaman, sebaliknya Yassir terus menetap di
Mekah. Beliau kemudiannya menjalin persahabatan dengan Abu Hudzaifah bin
Al-Mughirah bin Abdullah Al-Makhzumy, yang kemudiannya menikahkannya dengan
seorang hamba wanita, Sumayyah bintu Khubath, lalu melahirkan seorang anak
lelaki, bernama Ammar. Abu Hudzaifah kemudiannya memerdekakan Sumayyah manakala
Yasir dan Ammar tetap bersama-sama dengan Abu Hudzaifah sehingga meninggal
dunia.
Sumayyah bintu Khubath, nama yang tidak pernah dikenali di seluruh pelosok
Mekah sebelum Islam hadir memancarkan sinarnya di Ummul Qura. Beliau seorang
wanita yang bersosok besar, usianya telah memasuki usia senja. Namun, beliau
memiliki akal yang jernih, dan jiwanya memancarkan keikhlasan, bara dan
semangat!. Tidak berapa lama selepas Rasulullah memulakan dakwah baginda,
keluarga Yasir muncul sebagai di antara manusia terawal mengimani risalah Islam
dan membenarkan kerasulan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Keimanannya
yang mendalam terhadap Allah menjadikan dirinya sebagai pelopor wanita-wanita
yang sabar dan tegar mempertahankan akidah. Bahkan beliaulah adalah orang
ketujuh yang masuk Islam dan di antara orang terawal yang menampakkan
keislamannya. Hal ini disebutkan oleh Al-Imam Adz-Dzahaby Rahimahullah di dalam
bukunya, Siyar A’lamin-Nubala’ menerusi riwayat Abdullah bin Mas’ud Radiallahu
Anhu,
“ Yang pertama sekali menampakkan keIslaman mereka secara
terang-terangan ada tujuh orang; Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Abu
Bakar, Ammar, ibunya Sumayyah, Shuhaib, Bilal dan Al-Miqdad. Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam mendapat perlindungan dari bapa saudarany (Abu
Talib). Abu Bakar mendapat perlindungan kaumnya. Yang lain-lain pula mengalami
penyeksaan yang keras dari orang-orang musyrik, dikenakan baju besi lalu
ditelantarkan di bawah terik matahari. Tidak seorang pun dari mereka kecuali harus
memenuhi apa yang mereka inginkan, kecuali Bilal. Dia tidak peduli apa yang
menimpa dirinya kerana Allah. Dia juga tidak peduli kepada kaumnya. Ketika dia
diseksa, kanak-kanak kecil ikut sama mengerumuninya, dan dia hanya mampu
mengucapkan, ‘Ahad, ahad, ahad”.
Keluarga Sumayyah turut sama berada di barisan hadapan. Kemarahan kaum Quraisy
benar-benar memuncak. Hampir setiap nafas mereka adalah hembusan kebencian
kepada orang-orang yang mengucapkan “Rabb kami adalah Allah”.
Penyeksaan-penyeksaan tidak pernah menjadikan kaum Muslimin berundur, malah
mereka tetap istiqamah dan terus mengikuti Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam.
Sementara itu, baginda hanya mampu meniupkan kata-kata semangat dan motivasi
keimanan kepada keluarga Sumayyah kerana tiada seorangpun yang mampu memberikan
jaminan kepada keluarga tersebut. Keluarga itu menerima pelbagai jenis
penyeksaan dari orang-orang musyrik yang terbakar oleh api dendam dan kebencian
terhadap dakwah Islam. Mereka memuaskan keinginan yang gila dengan menyeksa
Sumayyah dan keluarganya. Ibnu AtsirRahimahullah menyebutkan di dalam
kitabnya, Usdul Ghabah, tentang seksaan yang dialami oleh Sumayyah dengan
berkata, “Dia termasuk orang-orang yang lebih dahulu masuk Islam dan dia
juga termasuk di kalangan orang-orang yang mendapat seksaan yang keras kerana
Allah”.