Tuesday, February 15, 2011

~ MauLiduR Rasul 2011~

Salam Maulidur Rasul 2011

Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh..

Salam Maulidur Rasul 2011 buat semua rakan-rakan....

Alhamdulillah, segala puji dan puja kita rafaakkan kepada Allah yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita, Selawat dan salam buat junjungan besar tercinta Nabi Muhammad SAW, penutup sekalian para nabi dan rasul, penunjuk jalan al-haq dan daie sepanjang jalan.


Hari ini bersamaan 15 Februari 2011 (12 Rabiul Awal 1432), kita menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah Saw. Keputeraan Rasulullah dan pengutusan baginda kepada kita merupakan satu nikmat kubra buat umat sejagat. Ini kerana kelahiran baginda memberikan petanda risalah dan penyelamat umat dari dibelenggu arus jahiliyah.

Saban tahun kita menyambut dan mengenang kelahiran baginda SAW. Namun harus kita bertanya kepada benak fikiran kita sejauh mana kita telah mencontohi dan mengimplimentasi pusaka peninggalan baginda SAW di dalam kehidupan kita. Saban tahun juga bermakna Rasulullah SAW semakin jauh dari kita. Namun spirit dan ruh perjuangan baginda tetap membara dalam sanubari kita.

Marilah kita menggali semula mutiara keindahan hidup baginda SAW. Mari kita susuri dan teladani qudwah dakwah dan perjuangan baginda bagi kita memacu semula gerakan pencerahan dan pembangunan semula satu nahdah (peradaban). Biarpun jasad baginda jauh beribu-ribu batu, namun jiwa,perjuangan baginda tetap mekar dan dekat di hati kita.

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 2011 buat semua teman seIslam dan juga rakan-rakan blogger.Marilah bersama-sama kita junjung kecintaan pada baginda SAW , kita telusuri seerah baginda dan kita lestarikan pancang dakwah dan jihad baginda dalam hidup kita. Kita pintal dan suburkan semula kecintaan kita pada baginda dengan menjadikan baginda ikon terbaik hidup kita.

Jom kita dengar sekali lagu dari kumpulan hijjaz yang bertajuk rasulullah

Hijjaz-Rasulullah

( 1 )
Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

( korus )
Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela

( ulang korus & 1 )

1 MALAYSIA 1 UMMAH



Entri maulidur rasul tahun lepas ada menceritakan tentang peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku pada 12 Rabiul Awal yang lalu. Entri untuk tahun ni nak share antara kisah-kisah menarik Rasulullah yang boleh diambil iktibar dan renungan bersama. InsyaAllah..

1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina ‘Aisyah menceritakan “Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.”

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar.

Maka Nabi bertanya, “Belum ada sarapan ya Khumaira?” (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina ‘Aisyah yang bererti ‘Wahai yang kemerah-merahan’)

Aisyah menjawab dengan agak serba salah, “Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.” Rasulullah lantas berkata, “Jika begitu aku puasa saja hari ini.” tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?”

Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, “Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia.”

“Aku tidak bertanya alasanmu,” sahut Nabi s. a. w. “Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?”

6) Pernah baginda bersabda, “sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya.” Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,

“Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?”

“Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.”

“Ya Rasulullah…mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit…” desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

“Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?” Lalu baginda menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?”

“Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.”

8 ) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida’nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina ‘Aisyah, “Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?”

Jawab baginda dengan lunak, “Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.”

aizuddin : Betapa jauhnya kemuliaan dan keperibadian Rasulullah dengan diri kita. Renung-renungkan dan selamat beramal..

Dengan Tema Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1432H / 2011 ialah ‘1 MALAYSIA 1 UMMAH’ . Umat Islam diseru untuk bersatu dengan menyayangi agama, bangsa dan negara di samping menanam azam bagi melahirkan satu ummah yang mampu membawa kedamaian dan keadilan berpaksikan kepada al-Quran dan sunah. –zikrihusaini-

No comments:

~Mu$LiM@H SoLeH@H~

~Mu$LiM@H SoLeH@H~

Daisypath Happy Birthday tickersDaisypath Graduation tickers

~My Blog List~

~My Pets~

< didi>

",)